AIRLINES LEGAL RESEARCH

Just another WordPress.com weblog

MAS mula kempen saji makanan halal dalam penerbangan

MAS mula kempen saji makanan halal dalam penerbangan Berita Harian, 11 April 2001 PENERBANGAN Malaysia (MAS), akan berusaha mempromosikan kesedaran mengenai pentingnya syarikat penerbangan antarabangsa menyajikan makanan halal kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka. Usaha itu akan dibuat dengan menanamkan kesedaran bahawa langkah menyediakan makanan halal dalam penerbangan dapat menjadi faktor sampingan yang menggalak lebih banyak penumpang menggunakan khidmat sesebuah syarikat. Sebagai permulaan, MAS akan menggunakan Persidangan Persatuan Penyajian Pesawat Antarabangsa (Ifca) dan Persatuan Perkhidmatan Makanan Dalam Pesawat Antarabangsa (Ifsa) sebagai medan mempromosikan inisiatif itu. Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Ifca dan Ifsa kelima tahun ini bertemakan “Rangkaian Untuk Kejayaan di Asia Pasifik” yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober ini di Petaling Jaya. MAS yang juga ahli persatuan itu akan menjadi syarikat penerbangan rasmi Ifca dan Ifsa yang dijangka mempertemukan kira-kira 400 perwakilan daripada pelbagai negara dan sektor termasuk syarikat penerbangan dan dalam persidangan itu. Naib Presiden Pembangunan Sumber dan Latihan Mas Catering Sdn Bhd (MAS Catering), Raja Kamariah Raja Hussein, berkata pihaknya akan membentangkan kertas kerja yang menyentuh aspek penyediaan makanan halal dalam pesawat. “Seorang pegawai teknikal dari Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Mas Catering sendiri akan menyampaikan kertas kerja untuk membincangkan isu itu bersama perwakilan. “MAS Catering akan berusaha mempromosi dan menggalakkan syarikat penerbangan asing menggunakan garis panduan berkaitan penyediaan makanan halal kepada penumpang,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas bagi mengumumkan mengenai Ifsa dan Ifca di ibu pejabat MAS di Kuala Lumpur, semalam. Jika usaha itu berjaya, besar kemungkinan MAS akan dapat memperluaskan operasi MAS Catering untuk menyediakan makanan halal kepada syarikat penerbangan asing yang beroperasi ke negara ini. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perancang Ifca/Ifsa, Mary Gostelow, berkata pada persidangan tahun lalu yang diadakan di Bangkok, Thailand seramai 300 perwakilan hadir mewakili 45 negara. Beliau yang juga Presiden Gostelow Travel bagaimanapun berkata, persidangan kali ini dijangka mencatat jumlah perwakilan yang lebih besar dengan kehadiran perwakilan dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah, Russia dan China. “Kuala Lumpur adalah satu pusat lawatan dan pertemuan yang penting dan ia terbukti menerusi kejayaan menganjurkan Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (Pata),” katanya. Gostelow berkata, persidangan tahun lalu berjaya menarik ramai perwakilan kerana mereka berpeluang bertukar fikiran dan mengadakan kerjasama dalam pelbagai isu berkaitan industri. Beberapa kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan itu termasuk oleh Presiden Ifca dan Ifsa, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) dan chef selebriti terkenal, Chef Wan.

May 13, 2009 Posted by | NEWSPAPER, Uncategorized | Leave a Comment

   

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.